Wednesday, June 10, 2009

Ilmu falak

Praktis falak syar'ie berkait rapat dengan teknologi dan juga kemampuan manusia. Teknologi berkembang pesat ke arah kesempurnaan, namun praktis falak syar'ie terbatas kepada kemampuan manusia untuk mengamalkannya. Disamping itu beberapa aktiviti manusia yang baru telah merubah praktis biasa falak syar'ie, antaranya ialah penerokaan angkasa lepas. Dengan perkembangan teknologi penentuan kedudukan, satu kes cadangan berkenaan waktu solat peribadi ( berbanding dengan waktu solat zon ) yang lebih menepati tuntutan syar'ie dicadangkan.

FALAK SYAR'IE

ak Syar'ie adalah sub-bidang falak/astronomi yang berkaitan dengan beberapa praktis dan amalan ibadat di dalam agama Islam. Bidang kajian falak syar'ie adalah sentiasa berkembang. Antara yang mempengaruhi perkembangan bidang ini adalah kemajuan ilmu dan juga teknologi dan komputer. Di samping itu juga, beberapa perubahan ( perkembangan ) di dalam kehidupan manusia juga akan mempengaruhi praktis dan amalan falak syar'ie.

Perspektif Islam Terhadap Ilmu Falak

Manusia yang ulil-albab perlu mempelajari sumber-sumber tabie alam untuk dimanfaatkan dalam kehidupan seharian, sama ada dalam pembentukan sesuatu konsep atau penghasilan produk. Kedua-dua hasil ini hendaklah dicernakan dalam keadaan ianya dapat mendidik manusia mengenali penciptaNya, memudahkan perlaksanaan ibadat dan mengangkat martabat insan. Dalam kajian falak, pembentukan konsep bermula dengan pemerhatian fenomena, diikuti dengan analisis maklumat emperikal, membuat rumusan dan pembentukan teori. Ada antara teori yang bersifat numerical diterjemahkan pula melalui formula falak, geometri dan jadual falak yang sepadan. Manakala terdapat kecenderungan sebahagian ahli-ahli sains untuk mengaitkan keterangan ayat-ayat Al-Quran dengan perjumpaan sains untuk menunjukkan kesesuaian ilmu sains dengan Al-Quran atau merupakan manifestasi pengabdian mereka terhadap keluhuran ilmu dan kesyumulan Al-Quran. Kesemua ini membentuk konsep dan aplikasi ilmu falak sebagaimana perspektif berikut ;

• Ilmu Falak Sebagai Pemangkin Akidah

• Seseorang ahli falak ( yang menjadikan alam sebagai subjek ), dengan niat yang ikhlas dan renungan yang mendalam, akan membawa pengkaji itu mengenali keagungan Allah swt. Ahli-ahli sains juga melihat keadaan alam yang harmonis ini sebagai satu paparan sifat khaliq Allah swt. Pada peringkat awal tamadun manusia, mereka percaya terdapat tujuh objek langit yang menguasai langit, iaitu Bulan, Utarid, Zuhrah, Matahari, Marikh, Musytari dan Zuhal. Kepercayaan ini mendorong sebahagian orang-orang Islam mengaitkan keterangan ini dengan kenyataan dalam Al-Quran mengenai tujuh lapis langit. Menurut teori pengembangan alam ( the expanding universe ), keseluruhan objek angkasa dalam keadaan bergerak dan berkembang. Keadaan berpadanan dengan maksud firman Allah dalam Al-Quran ;

“ Dan langit itu Kami ( Allah ) dirikan dengan kekuasaan Kami, dan sesungguhnya Kami ( Allah ) adalah mempunyai kekuasaan yang luas tidak terhingga. “ ( surah adz-Dzaariyat, ayat 47 )



Begitu juga apabila pergerakan harmonis alam, diuji dengan sesuatu bencana alam, misalnya kejadian perlanggaran komet dengan planet atau kegagalan ahli-ahli falak memahami sesuatu fenomena alam. Pada peringkat ini manusia akan merasai betapa kerdilnya mereka, lantas menjadikan mereka rendah hati ( tawadduq ) dan merasakan kekurangan ( fakir ). Perasaaan ini akan dapat menggilap hati manusia dan memantapkan tauhid kepada Allah swt.

• Ilmu Falak Sebagai Wasilah Ibadat

• Antara tujuan penting kajian ilmu falak adalah untuk mengabdikan diri kepada Allah swt dengan melaksanakan tugas manusia sebagai khalifah Allah di muka bumi. Ilmu falak digunakan sebagai wasilah untuk mencapai keperluan ibadat. Aplikasi ilmu falak yang ketara dalam kehidupan seharian ialah sistem takwim. Kajian mengenai takwim mengandungi skop luas, meliputi kajian tentang pergerakan fizikal cakerawala, pengukuran waktu, astronomi kedudukan ( positional astronomy ) dan instrument. Dalam konteks fardu ain, aplikasi takwim yang terlibat ialah takwim tarikh dan waktu solat. Unjuran kepada aplikasi tersebut meliputi penentuan kiblat, penentuan tempoh masa ( idah dan haul ) dan pengukuran waktu.Secara umum, takwim disusn berdasarkan tempoh pergerakan cakerawala seperti bulan dan matahari, sama ada secara penentuan tetap ataupun melibatkan sesuatu yang lebih emperik. Tujuan utama takwim ialah sebagai ‘tanda waktu' untuk aktiviti keagamaan, pertanian, sosial dan budaya. Takwim juga merupakan satu hasil falak yang bersifat holistik kerana unsure-unsur agama, sains, sosial dan budaya sama-sama mempunyai peranan. Dalam Al-Quran terdapat ayat yang menjelaskan secara umum kegunaan pergerakan bulan dan matahari untuk ‘ pengukuran masa' bagi manusia, sebagimana maksud ayat-ayat berikut :

“ Dialah Allah yang menjadikan matahari bersinar-sinar dan bulan bercahaya, dan Dialah yang menentukan perjalanan tiap-tiap satu itu pada tempat peredaran masing-masing, supaya kamu dapat mengetahui bilangan tahun dan kiraan masa . “ ( surah Yunus, ayat 5 )

“ Mereka bertanya kepadamu ( wahai Muhammad ) mengenai peredaran anak bulan. Katakanlah peredaran anak bulan itu, menandakan waktu-waktu manusia, khasnya ibadat haji… “ ( surah al-baqarah, ayat 189 )

Bilangan bulan dalam takwim Islam ditetapkan dua belas bulan, bagi menjelaskan penggunaan takwim qamari sejati dan perbezaannya dengan takwim yang digunakan oleh agama lain. Ini dijelaskan oleh firman Allah s.w.t. yang bermaksud,

“ Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi Allah ialah dua belas bulan, dalam kitab Allah semasa Ia menciptakan langit dan bumi…”

( surah at-Taubah, ayat 36 )





• Ilmu Falak Mengangkat Martabat Insan

• Manusia perlu menggunakan segala kekuatan fizikal dan mental yang ada semasa mengekploitasi alam untuk memakmurkan kehidupan manusia sendiri, memartabat kualiti insan dan menyegarkan akal. Alam sebagai Kitab Kedua atau Kitab Terbuka menjadi bahan kajian manusia. Dalam Al-Quran terdapat banyak ayat-ayat yang menyeru manusia supaya memerhati alam dan memanfaatkannya, antara;

“ Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal. “ ( surah al-Imran, ayat 190 )

Apabila alam dikatakan sebagai Kitab Kedua, maka ayat-ayat dalam kitab ini merupakan setiap kejadian yang berlaku dalam alam semesta ini yang boleh kita lihat seperti hujan, rebut, petir, gerhana dan sebagainya. Penerokaan dan jawapan, bagaimana undang-undang tabie alam yang berlaku secara bersistem, diformulakan untuk menjadi panduan kepada manusia. Melalui pelbagai teknologi yang dihasilkan dari pengetahuan manusia mengenai alam melalui ilmu falak, pengetahuan manusia tentang alam fizikal berkembang ke angkasa lepas. Misalnya, pergerakan bersistem cakerawala yang menjadi asas kepada penciptaan teknologi satelit dan memberi impak besar pula kepada kehidupan manusia.

0 comments:

Post a Comment